GDB catat untung lebih tinggi [Berita Harian]

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih firma perkhidmatan pembinaan, GDB Holdings Bhd (GDB) melonjak 53.7 peratus kepada RM8.8 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 berbanding RM5.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Hasil pula meningkat 11.2 peratus kepada RM111.1 juta daripada RM99.9 juta sebelumnya.
Keuntungan bersih yang memberangsangkan itu disumbang oleh kerja pembinaan untuk projek-projek tertentu yang sudah dalam peringkat ke hadapan pembinaan serta sumbangan daripada projek yang telah siap.
Pengarah Urusan Kumpulan GDB, Cheah Ham Cheia, berkata kumpulan itu berjaya mencapai keputusan suku pertama 2021 yang baik di tengah-tengah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari hingga 4 Mac 2021 kerana sektor pembinaan dibenarkan beroperasi, walaupun dengan kapasiti tenaga kerja yang terhad.
Katanya, kumpulan itu tetap berharap kesan daripada PKP 3.0 yang berkuat kuasa mulai 6 Mei 2021 tidak akan ketara kerana kebanyakan sektor ekonomi masih dibenarkan untuk terus beroperasi, dengan mematuhi ketat prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan.
“Kami juga akan terus berusaha untuk mengekalkan kecekapan operasi yang optimum tahun ini agar kemajuan projek berjalan lancar,” katanya.
GDB mempunyai enam projek yang sedang berjalan pada suku pertama 2021, dengan tiga antaranya ialah Regent Park di Desa ParkCity, Hap Seng Star Mercedes-Benz Autohaus di Setia Alam dan Hyatt Centric Hotel di Kota Kinabalu.