
KUALA LUMPUR 8 Okt – Syarikat pembinaan GDB Holdings Bhd bercadang untuk menerbitkan 93.75 juta saham baharu melalui penempatan persendirian, bersamaan kira-kira 10% daripada jumlah modal saham sedia ada, kepada dua pelabur pihak ketiga bebas iaitu Datuk Seri Chan Leng Sam dan Datuk Seri Voon Thien Loong.
Saham baharu itu akan diterbitkan pada harga 41.9 sen sesaham, dianggarkan menjana sekitar RM39.28 juta untuk membiayai modal kerja kumpulan dan projek pembangunan sedia ada.
Chan dan Voon adalah usahawan yang aktif dalam perniagaan merangkumi perladangan, pembinaan serta makanan dan minuman.
GDB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kedua-dua mereka juga bukan pemegang saham sedia ada GDB.
“Kedua-duanya tiada hubungan keluarga atau konflik kepentingan dengan GDB,para pengarah atau pemegang sahamnya dan tidak memegang jawatan pengarah atau pegangan besar dalam mana-mana syarikat tersenarai Bursa lain,” kata GDB.
Harga setiap saham baharu ditawarkan kira-kira 10% lebih rendah daripada purata harga pasaran berdasarkan volum dagangan lima hari terakhir (VWAMP).
Selepas penempatan saham ini, jumlah modal saham GDB akan meningkat daripada 937.5 juta kepada 1.03 bilion saham, manakala aset bersih syarikat dijangka naik daripada RM195.18 juta kepada RM234.2 juta, sekali gus meningkatkan nilai aset bersih setiap saham daripada 21 sen kepada 23 sen.
Daripada jumlah hasil, RM39.02 juta akan diperuntukkan untuk tiga projek pembangunan utama termasuk Kuala Lumpur International Hospital @ KL Wellness City, Logistic Hub Plot B Shah Alam dan Metrohub 4 Logistic Hub Klang.
Dana juga boleh disalurkan kepada projek infrastruktur masa depan, termasuk pembayaran pembekal dan pembelian bahan binaan.
Setakat Jun 2025, buku pesanan GDB berjumlah RM990 juta, manakala tender bernilai RM1.2 bilion telah dihantar dengan rancangan membida lagi RM1.8 bilion menjelang suku keempat 2025, merangkumi projek komersial, kediaman, campuran, penjagaan kesihatan dan gudang.
GDB berkata, memaklumkan kumpulan terus giat mengejar peluang kontrak baharu untuk memanfaatkan keadaan pasaran yang semakin baik dalam sektor pembinaan bangunan.
Penempatan persendirian dijangka selesai suku keempat tahun ini.- DagangNews.com
Source from: https://www.dagangnews.com/index.php/article/terkini/gdb-holdings-rancang-penempatan-saham-baharu-sasar-jana-rm39-juta-58945