GDB Holdings tarik semula penggantungan kerja projek 8 Conlay,disambung semula April ini [Dagang News]

KUALA LUMPUR 9 Jan – GDB Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Grand
Dynamic Builders Sdn. Bhd. (GDBSB), menarik balik penggantungan kerja bagi projek 8 Conlay
mulai hari ini.

Berdasarkan syarikat Damai City Sdn. Bhd. yang dikeluarkan kepada arkitek untuk
pengeluaran Arahan Arkitek yang akan datang di bawah Klausa 21.4 Kontrak PAM,

GDBSB akan menggerakkan dan memulakan semula kerja-kerja bahagian luaran untuk Menara
A berikutan penerimaan bayaran sebahagian daripada jumlah tertunggak daripada Damai City
kepada GDBSB menurut terma perjanjian dan surat-menyurat tambahan.

“Penggerak semula dan permulaan semula kerja pembinaan untuk skop penuh kerja di bawah
Projek 8 Conlay dijadualkan pada awal April 2023.

“Tetapi ia tertakluk kepada penyelesaian penuh jumlah tertunggak yang perlu dibayar kepada
GDBSB oleh Damai City,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

Pada 2020, GDBSB memperoleh kontrak RM1.25 bilion daripada Damai City untuk menyiapkan
pembinaan pembangunan bercampur 8 Conlay yang merupakan kontrak terbesar GDB pada
masa itu.

Tetapi pada Ogos 2022, GDBSB mengeluarkan notis penggantungan kepada Damai City dan
menghentikan semua kerja pada projek itu, yang mempunyai anggaran nilai pembangunan
kasar RM5.4 bilion yang akan menampilkan kediaman menara berkembar ‘berpintal’ tertinggi
di dunia.

Pada Oktober lalu, GDB telah memfailkan Writ Saman dan Kenyataan Tuntutan di Mahkamah
Tinggi terhadap KSK Land Sdn. Bhd. (KSK) bagi menuntut bayaran tertunggak RM120.69 juta.