GDB PEROLEH KONTRAK RM135 JUTA

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 27 Mac – Firma Perkhidmatan pembinaan GDB Holdings Berhad (GDB) dilantik sebagai Kontraktor Kerja Prinsipal oleh TRCSB bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan utama dengan nilai kontrak RM135 juta.

GDB dalam kenyataannya berkata, kontrak itu merangkumi kerja-kerja seni bina, sivil dan struktur, mekanikal serta elektrik untuk pembangunan bercampur di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Menurut syarikat itu, fasa pertama pembangunan yang melibatkan usahasama antara Prasarana Malaysia Berhad dan ADS Projek Sdn. Bhd. itu terdiri daripada dua blok residen servis apartmen 18 tingkat di atas podium lapan tingkat yang terdiri daripada tujuh tingkat tempat meletak kereta dan satu tingkat berkaitan kemudahan.

“Pembangunan bercampur di Ara Damansara terletak di lokasi strategik berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ara Damansara. TRCSB merupakan kontraktor utama dan kedua-dua syarikat ADS dan TRCSB adalah subsidiari milik penuh TRC Synergy Berhad.

“Tempoh kontrak adalah 30 bulan dari tarikh mula pada 16 April dan dijadualkan siap pada 15 Oktober 2021. Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan GDB sepanjang tempoh kontrak berjalan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE