KSK Land teruskan penyerahan projek 8 Conlay YOO8 pada akhir 2022 [Bernama]

KUALA LUMPUR, 18 Nov — KSK Land, anak syarikat milik penuh KSK Group Bhd, akan meneruskan pelannya untuk penyerahan Menara A 8 Conlay YOO8 pada akhir 2022 dan Menara B pada pertengahan 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif KSK Group Joanne Kua berkata setakat ini, projek menara kediaman berjenama oleh Kempinski itu, masing-masing telah mencapai lebih 80 peratus dan 40 peratus kadar pembelian untuk Menara A dan Menara B.

“Walaupun situasi tahun lepas mencabar, kami mendapati bahawa terdapat minat yang tinggi dalam pasaran tempatan terhadap kediaman berjenama seperti (8 Conlay) YOO8 berbanding tempoh sebelum COVID, manakala pasaran antarabangsa kekal menggalakkan.

“Berdasarkan kajian pembeli global baru-baru ini, kini terdapat lebih ramai pembeli mencari kediaman bersepadu hotel untuk perkhidmatan dan kemudahan berjenama mereka, potensi hasil yang tinggi dan pengurusan hartanah yang berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyempurnaan lantai terakhir Menara A 8 Conlay YOO8 di sini hari ini.

Pada majlis itu, KSK Land turut memperkenalkan ciri-ciri terkini dalam aplikasi mudah alih pemilik rumah 8 Conlay, yang termasuk kawalan akses lif mudah alih, kawalan rumah pintar dengan kerjasama Lutron, pengurusan pelawat, pengurusan kecacatan serta sembang dalam aplikasi, fungsi panggilan suara atau panggilan video yang terus menghubungkan kepada perkhidmatan concierge.

“Sebagai syarikat hartanah gaya hidup dan reka bentuk, memberikan nilai yang terbaik dan berkualiti kepada pemilik kediaman kami merupakan yang paling penting buat kami, yang selaras dengan falsafah kami untuk mewujudkan ruang yang boleh didiami.

“Sehubungan itu, kami gembira untuk berkongsi bahawa KSK Land kini merupakan pemaju hartanah pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan KONE bagi menyepadukan fungsi akses lif mudah alih secara terus kepada aplikasi mudah alih pemilik kediaman kami,” katanya.

Dibangunkan oleh cabang data dan teknologi KSK Land, KSK City Labs, aplikasi mudah alih itu direka untuk meningkatkan pengalaman pemilik kediaman dengan lancar di 8 Conlay, merangkumi keseluruhan perjalanan daripada pembelian kepada pengurusan kediaman dan hartanah.

Lebih banyak ciri-ciri baharu akan diperkenalkan, termasuk fungsi sembang yang menghubungkan penduduk YOO8 secara langsung kepada Lady-in-Red Kempinski untuk akses kepada perkhidmatan hotel seperti ‘butler on call’, perkhidmatan chef persendirian, perkhidmatan mengemas, jahitan dan banyak lagi.