GDB raih kontrak bina hab logistik bernilai RM247 juta di Selangor [Dagang News]

KUALA LUMPUR 22 Dis – GDB Holdings Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM247 juta bagi membina hab logistik di Taman Perindustrian Bandar Bukit Raja 2, Klang, Selangor.

Kontrak itu diraih menerusi anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn. Bhd. (GDBSB).

Ia menerima surat anugerah bertarikh 19 Disember 2022 daripada SDPLOG 1 (Industrial Asset I) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh SDPLOG 1 (MY Holdings) Sdn. Bhd. dan ditubuhkan di bawah Sime Darby Property–LOGOS Property Industrial Development Fund 1 LP (IDF).

IDF diuruskan oleh SDPLOG–IDF 1 GP Pte Ltd, anak syarikat milik penuh SDPLOG–IDF 1 (JV Holdings) Pte Ltd, usaha sama antara Sime Darby Property Bhd. dan LOGOS SE Asia Pte Ltd.

Di bawah kontrak itu, GDBSB sebagai kontrak utama akan mereka bentuk dan membina cerucuk dan substruktur, serta kerja-kerja superstruktur, seni bina, mekanikal dan elektrikal.

GDBSB akan menjalankan kerja-kerja berkenaan untuk gudang dua tingkat dengan aras mezanin di setiap tingkat, kemudahan kafeteria kakitangan, galeri pameran, rumah pengawal keselamatan, ruang sampah dan pencawang elektrik.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan GDB Holdings, Cheah Ham Cheia berkata, kontrak selama 21 bulan itu akan bermula 29 Disember 2022 dan dijangka siap pada 28 September 2024.

Katanya, perolehan terkini itu akan meningkatkan nilai kontrak semasa kumpulan kepada RM1.3 bilion dan akan memberi pendapatan sehingga 2024.

Kontrak ini dapat mengukuhkan portfolio kami dengan mereka bentuk dan membina hab logistik berteknologi tinggi dengan inisiatif kemampanan Pensijilan LEED untuk SDPLOG 1.

Ini akan mengukuhkan rekod prestasi kami dalam melaksanakan pelbagai jenis pembinaan bangunan, daripada kediaman dan komersial bertingkat tinggi hingga hartanah perindustrian,” katanya.

– DagangNews.com