GDB raih kontrak RM247 juta bina hab logistik di Klang [Bernama]

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Anak syarikat milik penuh GDB Holdings Bhd Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB) memperoleh kontrak reka bentuk dan binaan untuk membina hab logistik di Klang, Selangor, bernilai RM247 juta daripada SDPLOG 1 (Industrial Asset I) Sdn Bhd.

SDPLOG 1 ialah anak syarikat milik penuh SDPLOG 1 (MY Holdings) Sdn Bhd dan ditubuhkan di bawah Sime Darby Property – LOGOS Property Industrial Development Fund 1 LP.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, GDB berkata dana itu diuruskan oleh SDPLOG – IDF 1 GP Pte Ltd, anak syarikat milik penuh SDPLOG – IDF 1 (JV Holdings) Pte Ltd, usaha sama antara Sime Darby Property Bhd dan LOGOS SE Asia Pte Ltd.

Skop GDBSB sebagai kontraktor utama termasuk mereka bentuk dan membina kerja-kerja cerucuk dan substruktur, serta kerja-kerja superstruktur, seni bina, mekanikal dan elektrikal, serta gudang dua tingkat.

GDB berkata kontrak 21 bulan itu dijadualkan bermula pada 29 Dis 2022, dengan sasaran siap pada 28 Sept 2024. Pengarah Urusan kumpulan GDB Cheah Ham Cheia berkata kontrak itu akan mengukuhkan rekod prestasi kumpulan dalam membina pelbagai jenis bangunan, daripada bangunan kediaman dan komersial bertingkat tinggi hingga kini termasuk hartanah perindustrian.

Kontrak baharu ini juga meningkatkan nilai perolehan kontrak tertunggak kami kepada RM1.3 bilion, yang memberikan kami perniagaan sehingga 2024,” katanya.

— BERNAMA