GDB raih projek pembinaan hospital di Bukit Jalil bernilai RM306 juta [Bernama (online)]

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Firma perkhidmatan pembinaan GDB Holdings Bhd (GDB), melalui anak syarikat milik penuhnya Grand Dynamic Builders Sdn Bhd, berjaya meraih projek pembinaan hospital swasta di Bukit Jalil bernilai RM306 juta daripada KL International Hospital Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, GDB berkata KL International Hospital Sdn Bhd ialah anak syarikat KL Wellness City Sdn Bhd.
“Kontrak yang diperoleh itu termasuklah kerja-kerja pelaksanaan, prestasi, reka bentuk (jika bersesuaian), pembinaan, penyiapan, pentauliahan mesin dan peralatan, dan penyelenggaraan (jika bersesuaian) untuk bangunan hospital swasta yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya.
GDB berkata pembinaan itu akan bermula pada 16 Mac, 2024 dan akan dilaksanakan selama 25 bulan.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Cheah Ham Cheia berkata hospital baharu itu akan menjadi penting kepada KL Wellness City dan bersedia untuk menjadi hab bertaraf dunia bagi kedua-dua perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan domestik serta antarabangsa, menampilkan pusat kecemerlangan merentasi pelbagai bidang, termasuk kardiologi, kesihatan tulang belakang, kesihatan neuro, perubatan sukan, pembedahan kosmetik dan kesuburan.
“Kontrak ini menandakan satu peristiwa yang signifikan kepada kami memandangkan kami membina hospital paling canggih dan pada masa yang sama meningkatkan rekod prestasi kami,” katanya.

GDB berkata projek itu akan dibiayai daripada dana secara dalaman atau pinjaman bank, atau kedua-duanya sekali.
Dengan kejayaan meraih kontrak itu, perolehan nilai kontrak semasa GDB berjumlah RM475 juta, meningkat daripada RM169 juta pada 30 Sept, 2023.


— BERNAMA